artikel ni saya ambil dari notes yang senior saya tag saya kat facebook...sama-sama kita renung danmuhasabah diri kita...
Beberapa tahun lalu, saya pernah duduk berbincang dengan seorang teman yang begitu obses menjadi kaya dan meraih kejayaan dunia. Dia hidup sederhana dan bekerja tanpa mengenal waktu sebagai nafkah kepada rumah tangganya dan dua anak perempuannya.
Satu hari dia mengeluh dan menyesali nasibnya kerana berasa kesal dengan Allah SWT yang belum memberi kekayaan dan kejayaan kepadanya. Saat itu, nada bicaranya terkesan memperlecehkan Allah SWT dan berkata, “Daripada menjadi Muslim yang miskin lebih baik menjadi orang kafir yang hidup kaya raya.” Saya tersentak mendengar ucapannya dan menyuruh dia beristighfar. Lalu, saya membacakan beberapa ayat daripada Al-Qur’anul Karim:
“Apakah mereka mengira bahawa harta dan anak-anak yang Kami berikan kepada mereka itu bereti Kami segera memberi kebaikan-kebaikan kepada mereka? Tidak, sebenarnya mereka tidak sedar.” – Al-Qur’anul Karim; Surah Al-Mu’minun (23) ayat 55-56.
“Maka janganlah kerana harta benda dan anak-anak mereka menarik hatimu. Sesungguhnya Allah hanya hendak menyeksa mereka dengan harta benda dan anak-anak itu dalam kehidupan di dunia dan kelak akan melayang nyawa mereka, sedang mereka dalam keadaan kafir.” – Al-Qur’anul Karim; Surah At-Taubah (9) ayat 55.
Saya jelaskan kepadanya, penderitaan yang dialaminya kini adalah kesan daripada sifat obsesnya untuk menjadi jutawan. Saya bertanya kepadanya, “Seandainya saat ini kamu mempunyai wang sejumlah satu juta ringgit, adakah wang itu mencukupi?” Dia berkata, “Asalkan wang itu boleh saya dapatkan saat ini, saya mahu.” Tegasnya.
“Tapi bagaimana kalau ada kesannya?” Kata saya. Dia bertanya, “Apa kesannya?”
Saya berkata, “Misalnya selepas menerima wang itu kamu diserang angin ahmar atau lumpuh, sehingga kamu hidup cacat, maka apakah kamu masih ingin memiliki wang tersebut?”
“Tidak mahu! Saya ingin hidup sihat. Apa gunanya hidup kaya raya tapi sakit?” Tegasnya.
Kemudian saya menasihatinya dan bertanya kepadanya, “Apabila kesihatan kamu lebih berharga daripada wang sebanyak 1 juta ringgit, lantas selama ini mengapa kamu rela mengorbankan semua untuk memilikinya dan kemudian melepaskannya semula demi untuk hidup sihat?” Saat itu saya lihat air mukanya berubah dan saya terdiam.
Sekitar dua tahun kemudian, saya bertemunya lagi dan dia mengundang saya ke rumahnya yang baru. Saya berkunjung ke rumah barunya di kawasan Cibubur. Dia menceritakan bahawa sekarang dia sudah menjadi pengusaha hasil wang tabungan yang mencukupi. Katanya, setiap hari Khamis, dia mengadakan bacaan Al-Qur’an.
KESENANGAN DALAM KESUSAHAN
Saat itu saya terkesima dan bertanya apa rahsianya sehingga dia dapat hidup berjaya seperti ini?
Dia menceritakan bahawa beberapa bulan selepas pertemuan antara kami dua tahun lalu, dia diserang penyakit hati yang parah. Keadaan hidupnya menjadi semakin sulit dan membuat rumah tangganya goyah. Isterinya kesal dan pergi meninggalkannya, sehingga dia dirawat oleh anak perempuan sulungnya yang baru berusia 14 tahun. Saat itu juga doktor menyuruh dia berehat selama empat hingga enam bulan.
Satu malam di kamarnya, dia menangis seorang diri dan teringat akan ayat-ayat Al-Qur’an yang pernah saya bacakan. Saat itu dia sangat menyesali perbuatannya dan berdoa kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh. Kawan saya bukan jenis yang gemar membaca buku, lebih-lebih lagi buku agama. Tapi pada malam itu, sampai Subuh dia merintih dan menangis teresak-esak dalam kegelapan malam seorang diri dan berdoa. Berikut petikan doanya:
“Segala puji bagi Engkau, duhai Tuhan semesta alam. Aku banyak berdosa kepadaMu dan aku tidak memiliki alasan untuk berdalih daripada dosa-dosaku. Apapun yang aku derita saat ini semata-mata kerana kecintaanMu kepadaku yang berusaha menyedarkan diriku daripada kesalahan-kesalahanku. Tuhanku, aku adalah milikMu, lakukanlah apa sahaja seperti yang Engkau kehendaki. Aku lebih suka saat ini kerana penyakitku telah mengingatkan aku kepadaMu. Maafkan aku, maafkan aku duhai Tuhanku. Engkau adalah Tuhan Yang Maha Baik dan aku percaya kepadaMu dengan segenap hatiku. Engkau takkan pernah kutukar dengan apapun dari nikmat dunia ini. Selamatkan aku dari dunia dan akhirat.”
Doa yang dibacanya itu terus dicatit di atas sekeping kertas. Sejak malam itu, dia selalu membawa doa itu ke mana pun dia pergi. Setiap kali kertas itu lusuh, dia akan menyalin doa tersebut di atas kertas lain. Dia menjadi seorang yang rajin solat dan tekun membaca Al-Qur’an, meskipun bacaannya masih tersangkut-sangkut.
Setiap selesai solat wajib, dia sentiasa membaca doa itu. Tidak sampai tiga minggu, dia berhasil memperoleh wang yang cukup banyak berbanding tahun-tahun lampau kehidupannya – tahun sebelum dia ditimpa penyakit.
Selepas menerima wang itu, 20% daripadanya disedekahkan, dan dia menyembelih empat ekor kambing korban sebagai tanda bersyukur. Masing-masing untuk anggota keluarganya, termasuk untuk isteri yang telah pergi meninggalkannya saat dia sakit.
Ketika kesihatannya semakin baik lapan bulan kemudian, dia mendapat penghasilan yang besar. Dengan wang itulah dia membeli rumah dan kereta baru. Tidak lama selepas berpindah ke rumah baru bersama dua orang anaknya, isterinya datang meminta maaf kerana perbuatan silamnya.
Sejak kekayaannya bertambah, dia banyak berehat di rumah. Pasangan itu kini hidup semula sebagai suami isteri bahagia. Doa yang dicatatnya kini diajar kepada isteri dan dua orang anaknya.
Kawan saya ini mengakhiri kisah hidupnya dengan mengatakan bahawa sekarang dia sudah punya prinsip hidup. “Apa prinsip hidup kamu?” Tanya saya. Dia menjawab sambil membaca sepotong ayat Al-Qur’an berikut:
“Katakanlah sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam.” – Al-Qur’anul Karim; Surah Al-An’aam (6) ayat 162.
PETIKAN DARIPADA
Ali Ahmad, Maleya. Berubat Al-Qur’an Rahsia Terunggul. Selangor Darul Ehsan: Kharisma Network Sdn Bhd;
Thursday, March 25, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment