CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

AHLAN WASAHLAN ILA RUKNI.. (^_^)


Tuesday, May 10, 2011

PERANAN SEKOLAH DALAM MEREALISASIKAN FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN

Sekolah adalah institusi yang paling penting dan utama dalam usaha merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Sebagaimana yang kita tahu, “Falsafah Pendidikan Kebangsaan adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, jasmani dan sosial berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri seri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.”

Untuk merealisasikan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan ini bukanlah suatu usaha yang ringan. Aspek-aspek seperti budaya sekolah, peranan guru, disiplin murid, aktiviti ko-kurikulum dan juga aspek kepimpinan perlu diberi perhatian yang serius dan dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan di semua sekolah. Dengan itu, tidak mustahil hasrat FPK dapat direalisasikan.

Aspek yang terpenting ialah aspek pembudayaan sekolah. Sesetengah pihak memanggilnya iklim sekolah. Budaya sekolah ini mestilah merangkumi kelima-lima elemen yang terdapat dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu, rohani, intelektual, emosi, jasmani dan sosial. Elemen rohani ialah dengan menerapkan kepentingan agama tanpa menentang agama lain. Contohnya ialah dengan mewujudkan budaya sekolah yang mengamalkan bacaan Al-Qur’an setiap pagi dan solat fardhu secara berjemaah. Semua murid pula mestilah menutup aurat. Ia akan menyedarkan murid akan tanggungjawabnya dalam memelihara agama dan kehormatan diri. Secara tak langsung akan melahirkan murid yang berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri.

Dari elemen fizikal pula ialah dengan menyediakan kemudahan sekolah yang selesa, ceria dan kondusif yang dapat menggalakkan sesi pengajaran dan pembelajaran. Ia akan dapat merangsang minat murid dalam menuntut ilmu. Ia sejajar dengan hasrat FPK iaitu untuk menghasilkan murid-murid yang berkembang secara harmonis dan menyeluruh dari aspek rohani, jasmani, emosi, intelektual dan sosial.

Seterusnya, dalam elemen intelek, sekolah mestilah menggalakkan pembuadayaan ilmu dalam kalangan murid dan guru. Pihak sekolah boleh menganjurkan program-program akademik seperti program NILAM. Ia akan menggalakkan budaya membaca dalam kalangan murid. Semangat murid untuk membaca juga semakin meningkat dengan adanya penganugerahan seperti anugerah NILAM. Melalui pembacaan, minda murid akan lebih berkembang dan murid mampu berfikir secara kreatif dan kritis. Ia sejajar dengan hasrat FPK untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan.

Dalam elemen sosial, murid mestilah diberi pendedahan akan kepentingan bersosial dengan cara yang betul sesama murid, guru, ibu bapa, keluarga dan masyarakat. Contohnya budaya member salam yang diamalkan di sesetengah sekolah akan mengukuhkan ikatan ukhuwah sesama murid dan guru, dan dengan keluarga dan masyarakat jika turut dipraktikkan di luar. Budaya ini akan melahirkan murid yang menghormati guru dan rakan-rakannya serta akan membenihkan rasa kasih dan sayang guru terhadap murid. Ia akan menyumbang terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara seperti yang terdapat di dalam FPK.

Seterusnya ialah dalam aspek aktiviti ko-kurikulum. Melalui gerak kerja ko-kurikulum, sifat-sifat kepimpinan, kerjasama, tolong-menolong dan sedia berkhidmat dalam kalangan murid dapat dipupuk. Gerak kerja ko-kurikulum ini perlu dirancang dengan teliti agar dapat melahirkan murid yang seimbang perkembangan mental, sosial, jasmani dan rohani. Ia dapat mencungkil bakat murid, menambah kemahiran dan meningkatkan keyakinan diri setiap murid. Secara tidak langsung, murid-murid juga akan lebih berminat untuk belajar dan hadir ke sekolah.

Aspek disiplin juga turut sama pentingnya bagi merealisasikan hasrat FPK. Disiplin berkaitan dengan tatatertib. Tatasusila, kesopanan dan akhlak. Sekolah merupakan institusi terpenting dalam membentuk disiplin murid-murid. Proses pembelajaran dan pengajaran akan menjadi lebih lancar, mudah dan menarik seandainya masalah disiplin adalah sifar di sekolah. Ini kerana, masalah disiplin akan menjejaskan tumpuan murid kepada pelajaran. Untuk mengawal disiplin setiap murid bukanlah tugas guru dan sekolah semata-mata. Namun, ibu bapa seharusnya memainkan peranan, contohnya melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Selain itu, aspek kepimpinan juga memainkan peranan penting untuk membantu memenuhi tuntutan FPK. Fungsi kepimpinan dalam menguruskan dan mengendalikan sekolah adalah amat penting. Kepemimpinan di sekolah haruslah sentiasa proaktif dan bersedia untuk berdepan dengan segala kemungkinan seiring dengan perubahan arus masa yang semakin mencabar kredibiliti guru seperti penyaluran budaya kuning.

Sekolah yang berkesan dapat dinilai melalui stail kepimpinannya yang bukan sahaja mampu membawa kecemerlangan, malah berjaya membawa perubahan yang besar kea rah kebaikan. Ianya tidak menumpukan kepada sesi pengajaran dan pembelajaran semata-mata, iaitu aspek akademik, malahan tumpuan yang diberikan adalah secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insane yang seimbang dan harmonis dalam kelima-lima aspek JERIS. Tugas kepemimpinan ini bukanlah terhad di pundak guru besar atau pengetua semata-mata, malah setiap warga sekolah mestilah memainkan peranan dan tugas masing-masing, termasuklah jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Menurut Wilson dan Corcoran (1988), segala kejayaan dan kegagalan murid terletak kepada pihak sekolah, iaitu guru besar dan guru. Kepemimpinan guru besar pula dikenal pasti sebagai pemboleh ubah yang penting sekali, yang mempengaruhi kualiti dan kuantiti hasil sekolah walaupun proses dalaman dan persekitaran sosial (iklim), atau budaya sekolah juga merupakan pemboleh ubah yang mempengaruhi dan menyebabkan perbezaan dalam pencapaian akademik murid (Rutter et al,1979).

Peranan guru juga merupakan aspek yang penting dalam memainkan peranan sekolah untuk merealisasikan hasrat FPK. Guru seharusnya berusaha mendekati murid dan menjalin hubungan yang erat dan mesra dengan murid agar murid berasa selesa untuk berhadapan dengan guru. Guru merupakan insan yang perlu dihormati selepas ibu bapa. Martabat seorang guru diangkat dengan begitu tinggi kerana peranan guru amat besar untuk membentuk nilai dan sahsiah seseorang murid. Tugas guru bukanlah sekadar mengajar, bahkan juga sebagai pengurus, fasilitator, pembimbing, penggalak, penyelaras dan inovator. Tuntasnya, guru bertanggungjawab untuk mengembangkan bakat dan potensi murid secara menyeluruh dan bersepadu iaitu insan yang seimbang cemerlang dari segi intelek, rohani, emosi, jasmani dan sosial.

Kesimpulannya, hasrat FPK pasti akan dapat dicapai seandainya semua pihak memainkan peranan dan tugas masing-masing dengan baik.

No comments:

Post a Comment