Perkembangan kognitif sangat berkait rapat dengan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P). Sekiranya guru menjalankan proses P&P dengan berkesan, ia pasti akan lebih merangsang perkembangan kognitif kanak-kanak ini.
Jadi, bagi menjana perkembangan kognitif kanak-kanak pada peringkat operasi konkrit ini, guru boleh meneruskan penggunaan bahan yang maujud atau konkrit terutamanya untuk mengajar perkara atau kemahiran baru. Adalah digalakkan menggunakan bahan-bahan maujud yang mempunyai bentuk dan warna yang menarik. Ini bagi menarik minat murid dan sekaligus meransang mindanya.
Selain itu, guru perlulah memberi peluang kepada murid untuk memanipulasi, menguji dan meneroka sendiri objek-objek yang diajar. Ini kerana, perkembangan kognitif murid akan berkembang dengan lebih pantas sekiranya diberi peluang menterjemah sesuatu melalui pengalamannya sendiri.
Seterusnya, guru perlulah membentangkan pelajaran yang diajar dengan ayat yang ringkas dan tersusun. Ini kerana, murid mungkin akan keliru dengan arahan atau pengajaran yang menggunakan ayat yang panjang dan kompleks. Dengan penggunaan ayat yang ringkas dan tersusun, bukan sahaja perkembangan kognitif murid yang akan teransang, bahkan perkembangan bahasa murid juga turut berkembang dengan lebih pesat.
Guru juga boleh menggunakan contoh-contoh yang bersesuaian yang mempunyai hubungkait dengan minat atau diri murid. Contohnya, jika guru mengajar tentang kepentingan puasa, guru boleh mengaitkannya dengan cerita Upin dan Ipin. Sekiranya guru mengajar tentang nilai tidak berputus asa, guru boleh mengaitkannya dengan watak Naruto di dalam cerita Naruto. Mungkin ianya dianggap cerita yang hanya membuang masa, namun cerita-cerita kartunlah antara yang menjadi kegemaran murid. Jadi, guru perlulah meletakkan diri pada tahap kanak-kanak ini dan mengaitkan pengajaran dengan sesuatu yang disukai murid agar mereka lebih mudah mengingatnya.
Sebagai pertambahan, guru boleh memperkenalkan soalan-soalan berbentuk penyelesaian masalah yang memerlukan pemikiran logik dan analitik. Guru perlu menunjukkan jalan penyelesaian mengikut langkah-langkah yang mudah, tersusun dan sistematik. Dengan ajaran guru yang tersusun dan mudah difahami, perkembangan kognitif murid akan teransang lalu akan lebih cepat untuk memahami dan meneroka sesuatu perkara baru.
Kesimpulannya, perkembangan kognitif murid bukan hanya bergantung kepada faktor baka semata-mata, namun turut dipengaruhi oleh faktor persekitaran. Justeru, penggunaan kaedah P&P yang bersesuaian pasti akan lebih meransang perkembangan kognitif murid.
No comments:
Post a Comment