CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

AHLAN WASAHLAN ILA RUKNI.. (^_^)


Friday, November 7, 2014

BAB 6: Kepimpinan Guru (EDU 31083)

1.1          CIRI-CIRI KEPIMPINAN



Faktor kepimpinan memainkan peranan yang penting dalam menentukan kejayaan sesuatu organisasi sehinggalah sesuatu Negara. Faktor ini juga tidak kurang pentingnya dalam menentukan kejayaan pengurusan sesebuah sekolah bagi memastikan guru mempunyai ciri-ciri guru berdasarkan Standard Guru Malaysia (SGM)  yang mampu membentuk modal insan yang cemerlang dan berkualiti.
            Terdapat berbagai ciri kepimpinan yang lahir sejak dahulu lagi. Kesemua gaya ini mempunyai kebaikan dan kekurangannya yang tersendiri. Seseorang pemimpin di sekolah seperti guru besar, guru panitia, guru persatuan, guru kelas dan lain-lain perlu bijak mengadaptasi ciri kepimpinan ini dalam memimpin ahli pasukannya. Di bawah ini disenaraikan enam ciri kepimpinan yang dirangkumkan di dalam peta pokok seperti di dalam lampiran 2.
            Perkataan autokratik diambil dari kata dasar autokrat yang berasal dari Bahasa Yunani. Orang yang bersifat autokrat percaya bahawa kuasa untuk membuat keputusan 100% berada dalam tangan pemimpin. Hanya pemimpin yang layak memberikan arahan, manakala orang bawahan tidak boleh tidak mesti mematuhinya. Bagi meningkatkan profesionalisme saya sebagai seorang guru, saya perlu mengelakkan dari menggunakan gaya kepimpinan ini kecuali pada waktu-waktu yang benar-benar memerlukannya sahaja. Jelas sekali, murid akan berasakan wujud suatu jurang yang sangat jauh antara mereka dengan saya sekiranya saya kerap kali memimpin dengan gaya seperti ini.
            Sementara itu, ciri kepimpinan demokratik pula berbeza dengan ciri kepimpinan autokratik. Dalam kepimpinan ini, pemimpin mempunyai hubungan yang baik dengan orang bawahannya kerana didasari prinsip saling hormat-menghormati, saling bekerjasama dan bertanggungjawab. Sesuatu keputusan diputuskan setelah mendapat kata sepakat hasil perbincangan dan pandangan ahli-ahlinya. Pemimpin berciri demokratik ini bersedia menerima teguran dan kritikan daripada ahli bawahannya. Dalam profesion perguruan, seseorang guru digalakkan bersifat demokratik bagi menghormati pandangan semua ahli bawahan termasuk murid. Saya percaya, sekiranya saya mengamalkan gaya kepimpinan jenis ini, murid dan rakan sekerja pasti akan lebih menghormati saya kerana saya menghormati pandangan yang mereka berikan. Oleh itu, segala arahan atau tugasan yang diberikan menjadi lebih mudah kerana murid akan melakukannya dengan senang hati.
Selain itu, terdapat ciri kepimpinan yang bertentangan dengan ciri kepimpinan autokratik. Ia digelar sebagai kepimpinan Laissez Faire. Menurut Keith & Girling (1991) di dalam buku (Syed Ismail dan Ahmad Subki: 2013), gaya kepimpinan ini bersandarkan kepada falsafah yang membiarkan setiap individu dalam organisasi membuat kerjanya sendiri. Seseorang pemimpin yang mempunyai ciri ini tidak mempunyai matlamat dan objektif kerja yang jelas kerana menyerahkan segala-galanya di tangan orang bawahannya. Sebagai seorang guru dan pemimpin di sekolah, profesionalisme seseorang guru akan kurang kelihatan sekiranya sentiasa mengamalkan gaya kepimpinan ini. Sekiranya saya memimpin dengan gaya ini, mungkin saya akan disenangi oleh murid dan guru-guru lain, namun risiko bermasalah dalam mengurus dan menangani masalah disiplin murid adalah sangat tinggi kerana selama ini mereka berada dalam zon selesa dan tidak bersedia untuk menerima arahan.
Seterusnya adalah ciri kepimpinan kontingensi. Saya telah menceritakan serba sedikit tentang ciri kepimpinan ini kerana saya mengamalkannya dalam mengendalikan program Kembara Merdeka. Pada pandangan saya, ciri kepimpinan ini sesuai diamalkan di sekolah dan ia tidak mengganggu gugat profesion perguruan. Pemimpin yang bercirikan kontingensi perlu bijak menyesuaikan gaya kepimpinan mengikut kekuatan antara ketiga-tiga aspek iaitu bidang kuasa, struktur tugas dan hubungan dengan pekerja. Walaupun terdapat sedikit masalah dalam perlaksanaan program Kembara Sejarah ini, namun saya tetap berpegang dengan ciri kepimpinan jenis ini. Masalah yang berlaku adalah di luar jangkaan dan mungkin disebabkan oleh perancangan program ini di saat akhir, maka terdapat petugas yang kurang memahami perjalanan program.  Semoga permasalahan yang timbul dalam melaksanakan program ini menjadi pengajaran dan pemangkin dalam membentuk akauntibili saya sebagai seorang guru kelak.
            Ciri kepimpinan seterusnya adalah ciri kepimpinan Islamik. Pada pandangan saya, pemimpin yang mempunyai ciri kepimpinan ini adalah yang terbaik. Ini kerana, gaya kepimpinan jenis ini adalah berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah. Sebagaimana yang telah dijanjikan Allah, Al-Quran merupakan panduan hidup yang lengkap sehingga ke hari kiamat. Manakala As-Sunnah pula adalah adalah setiap perkataan, perbuatan, sifat dan taqrir Nabi Muhammad SAW. Sebagaimana yang semua telah maklum, Rasulullah diiktiraf sebagai pemimpin terbaik menurut kajian yang dilakukan oleh Michael H. Hart (1992) di dalam bukunya “100: Kedudukan Tokoh Paling Berpengaruh dalam Sejarah”. Sekiranya saya sebagai seorang guru menerapkan ciri kepimpinan Islamik ini dalam kepimpinan saya, insya-Allah saya akan dapat memimpin dengan baik walaupun kepada golongan bukan Islam kerana Al-Quran dan Rasulullah sendiri menyarankan agar berbuat baik kepada semua termasuk orang bukan Islam.
            Blasé (1989) menyatakan bahawa kepimpinan instruksional adalah penyeliaan pembangunan staf untuk perkembangan kurikulum. Pada pandangan saya, saya juga perlu memimpin dengan ciri instruksional ini apabila bergelar guru kerana seperti yang semua maklum, proses pengajaran dan pembelajaran merupakan tugas utama bagi seseorang guru. Profesionalisme saya sebagai seorang guru tidak boleh sewenang-wenangnya dipertikaikan sekiranya aspek perkembangan kurikulum menjadi fokus utama saya.

1.2          KEPEMIMPINAN INSTRUKSIONAL
Terdapat beberapa gaya kepimpinan yang menjadi ikutan atau amalan para pemimpin termasuk guru yang bertindak sebagai pemimpin di sekolah. Salah satu daripada gaya kepimpinan tersebut adalah gaya kepimpinan instruksional. Perkataan instruksional berasal dari perkataan “instruct” daripada Bahasa Inggeris yang bermaksud arah. Ia bersesuaian dengan ciri ini yang bertunjangkan kepada arahan.
            Menurut Brewer (2001), pemimpin yang memimpin dengan gaya instruksional memberi tumpuan kepada arahan dan tunjuk ajar, membina komuniti pembelajaran, berkongsi sama dalam membuat keputusan, memelihara dan mempertahankan perkara-perkara asas (basics), manfaat dan mengoptimumkan masa, menyokong perkembangan staf yang berterusan, merancang semula sumber-sumber untuk menyokong program-program sekolah, mencipta satu iklim integriti, inkuiri dan penambahbaikan secara berterusan.
            Gaya kepimpinan instruksional sering dikaitkan dengan guru besar atau pengetua sesebuah sekolah dalam memimpin guru-guru bagi membimbing murid. Ini kerana, kualiti kepimpinan guru merupakan faktor berasaskan sekolah yang terpenting dalam menentukan kemenjadian murid,
            Gaya kepimpinan instruksional ini terbahagi kepada dua iaitu gaya kepimpinan instruksional hubungan (Relational Instructional Leadership) dan gaya kepimpinan instruksional linear (Linear Instructional Leadership). Gaya ekpimpinan instruksional hubungan menekankan kepada hubungan yang baik antara pemimpin dan orang bawahannya. Sementara gaya kepimpinan linear pula yang biasa diamalkan oleh pemimpin-pemimpin sekolah. Ia menekankan kepada aktiviti akademik seiring dengan kehendak dan piawaian yang telah ditetapkan (Zulkifli: 2013).
Secara ringkasnya, seseorang pemimpin sekolah yang bergaya kepimpinan instruksional adalah seperti peta alir dalam lampiran 3.
Perkara pertama yang akan dititik beratkan oleh pemimpin bergaya instruksional adalah pembangunan guru. Pemimpin ini akan melakukan penyeliaan dan pemantauan secara konsisten ke atas amalan pedagogi dan pengurusan pengajaran dan pembelajaran guru di bawah seliaannya.
            Seterusnya, pemimpin gaya instruksional akan memberi tumpuan kepada perkembangan kurikulum pula. Pemimpin akan memastikan supaya wujud penyelarasan antara kurikulum dan tidak tersasar daripada objektif pembelajaran yang sepatutnya.
            Perkembangan kurikulum ini seterusnya akan meningkatkan kualiti kepimpinan guru. Guru tidak lagi berada dalam keadaan beku, lesu dan jumud. Guru seharusnya sudah boleh berfikir dengan kreatif dan kritis dan mencambahkan idea yang bernas dan inovatif. Ia akan melahirkan murid yang mampu berfikir di luar kotak dan mampu membuat keputusan sendiri dengan matang selaras dengan saranan Kementerian Pelajaran Malaysia yang ingin melahirkan generasi yang mampu berfikir aras tinggi (HOT).

            Melalui gaya kepimpinan instruksional ini yang menekankan kepada perkembangan guru, perkembangan kurikulum dan seterusnya meningkatkan kualiti kepimpinan guru, maka hasilnya keberkesanan pengajaran dan pembelajaran akan dapat dicapai. Ia dapat dibuktikan dengan kemenjadian murid bukan sahaja kecemerlangan dalam bidang akademik, malah bidang-bidang lain yang berkaitan dengan perkembangan murid.

No comments:

Post a Comment