Assalamualaikum semua. Diharap walau di mana pun kalian, kalian semua sentiasa di bawah lindungan redha Allah...insya-Allah...
Pernah tak rasakan seperti doa kita macam Allah tak dengar? Bertahun-tahun kita memohon, tapi apa yang dihajati tak jua diperoleh.... Tidakkah Allah berfirman, "Berdoalah kepada-Ku, nescaya aku perkenankan". Tapi mengapa? Mengapa doa yang dimohon tak juga diperkenankan? Tidakkah Allah kasihi aku? Tidakkah Allah melihat aku menderita? Mengapa mereka yang langsung tidak mentaati perintah Allah pun, boleh mengecap bahagia? Seakan segalanya cukup serba serbi...
Mungkin apabila iman merudum, akan ada yang pernah berfikiran seperti di atas. Apatah lagi yang bertahun memohon, tapi masih belum dikabulkan....
Hana ingin kongsikan suatu kisah seorang sahabat Hana... Dia mempunyai ayah yang agak tegas. Ayahnya melarang sekiranya dia bercinta sebelum tamat belajar. Tapi lumrah sebagai seorang remaja, dan mungkin ujian dari Allah, dia terjatuh hati seawal usia 15 tahun. Bukan sekadar cinta monyet kerana walaupun dia hanya memendam perasaan, tetapi dia terpaksa mengambil masa bertahun-tahun untuk melupakan lelaki tersebut apabila dia dapat tahu lelaki tersebut telah punya kekasih hati.
Bukan tak ada lelaki yang cuba mendekatinya selepas itu, tetapi hatinya tidak terpaut pada lelaki yang menyapa. Tinggallah dia keseorangan. Bukan tidak berasa sunyi, sunyi, sedih dan terasa rendah diri apabila rakan-rakan dan junior-junior seorang demi seorang melangkah ke alam perkahwinan. Dia bukanlah bodoh untuk menunggu lelaki cinta pertamanya itu. Dengan usaha dan kesungguhannya, setelah 5 tahun, dia berjaya pulih dari patah hati. Tapi bila ada yang mendekat, dia terasa lelaki itu tidak serasi dengannya. Tapi bukan senang mencari lelaki yang serasi dan dapat menerimanya seadanya. Jadi dia terus sendiri. Sejak dari dia kecewa dengan cinta pertamanya itu, setiap hari dia berdoa agar diberikan jodoh yang terbaik. Tapi sudah hampir sepuluh tahun, tapi dia masih sendiri. Dia juga kadang kala terasa lemah tatkala imannya merudum. Kadang kala terasa mahu berputus asa sahaja. Tapi dia tahu, Allah sentiasa bersamanya. Dia kuatkan kembali hati dan terus berdoa tanpa jemu.
Setelah tamat belajar, ayahnya dengan tiba-tiba bertanyakan hal hati dan perasaan. Dia dengan jujur menjawab dia masih belum punya sesiapa. Ya, memang benar dia belum punya sesiapa. Ayahnya berkata, "Kalau dah ada, nak kahwin sekarang pun boleh sebab dah habis belajar." Dia sendiri tak percaya ayat tersebut keluar dari mulut ayahnya. Tapi macam mana nak kahwin kalau calonnya belum muncul.
Dengan takdir Allah, setelah hampir 3 bulan berlalu, tiba-tiba kawan lamanya, yang hampir 6 tahun tidak ditemui menyatakan hasrat hatinya. Rupanya telah lama dia menyimpan perasaan, tetapi enggan mengungkapkan kerana belum bersedia dari segi kewangan dan menyerahkannya kepada Allah. Bila sudah melangkah ke alam pekerjaan, barulah si jejaka punya keyakinan untuk menyatakan hasrat. Dan dia pun, selama mengenali lelaki itu, senang sahaja dengan sikapnya. Lalu dia menerimanya. Doanya dimakbulkan setelah 10 tahun.
Begitulah... Allah itulah sebaik-baik perancang. Kadang-kadang Dia berikan apa yang kita mahu pada waktu itu juga. Kadang-kadang Dia tak berikan apa yang kita pinta kerana mungkin ia bukan yang terbaik untuk kita, selain sebagai ujian untuk melihat tahap keimanan kita. Contohnya dalam kes cinta pertama kawan Hana tadi, dia mula berumah untuk menjadi lebih baik setelah kecewa. Dia ubat lukanya dengan berdamping dengan Al-Quran. Sejak itulah dia mula bertudung labuh. Mungkin sewaktu kita diuji, kita tak nampak hikmah yang tersirat. Namun setelah masa berlalu, jika kita toleh kembali, betapa banyak nikmat yang Allah kurniakan buat kita. Allah uji kerana Allah sayangkan kita. Percayalah!
Allah juga beri pada waktu yang tepat. Macam dalam kes kawan Hana tu, mungkin jika dia menemukan cintanya sejak awal, mungkin akan berlaku masalah kerana ayahnya memang memandang serius hal tersebut. Tapi, tak lama setelah ayahnya memberikan restu, datanglah jejaka yang hadir membawa sinar ke dalam hidupnya. Mungkin kita akan rasa cemburu melihat rakan-rakan atau yang lebih muda mendirikan perkahwinan, sedangkan nasib kita masih sendiri. Macam mana nak cakap hal kahwin, sedangkan calon pun belum ada. Tapi mereka berkahwin awal kerana telah tiba waktu yang sesuai buat mereka. Tapi belum sesuai buat kita. Allah tahu kekurangan dan kelebihan kita. Terus yakin dengan rencana Allah buat kita, tapi tak bermakna kita tak perlu berusaha tau. Kalau perlu untuk kita yang perempuan memulakan langkah terlebih dahulu, pun tak salah. Asalkan tak salah dari syara' dan perlulah penuh dengan adabnya. Nasihat Hana juga, sekiranya hendak memulakan langkah (tak kisah la lelaki ke perempuan), sebaiknya berfikir panjang dan beristikharah terlebih dahulu. Dan tak lupa, berbincang dengan orang yang boleh dipercayai dulu. Dan jangan letakkan harapan yang terlalu tinggi. Takut nanti kecewanya berdouble-double. Seseorang pernah cakap kat Hana, we can hope, but never expect.
Ok, selamat tengah malam. Esok ada kursus sampai petang T_T