Saturday, February 26, 2011
pANgkOr part 2...
Thursday, February 17, 2011
pergi membawa hati...
Monday, February 14, 2011
SALAM MAULIDUR RASUL...
Bagaimana mulanya Hana mengenali siapa itu Rasulullah ye? Kalau diingat-ingat balik, rasanya mungkin pernah ayah bercerita, tetapi memori tu kabur. Apa yang jelas, semasa Hana berumur 7 tahun, darjah satu la, Hana membeli sebuah buku, kalau tak silap, tajuknya “Sejarah Ringkas Nabi Muhammad”. Hana masih ingat, buku tu tak besar sangat dan berwarna biru.
Semasa darjah satu tu, Hana dah boleh baca dengan laju jugak la. So, semangat untuk membaca sangat berkobar-kobar time tu. Sebenarnya buku tu Hana beli semasa ada agen yang datang jual buku kat sekolah. Biasa la, kalau sekolah kat luar Bandar, akan ada agen dari syarikat buku yang datang untuk beli buku. Maka kami akan pujuk la mak ayah masing-masing untuk beli buku. Banyak kali jugak dalam setahun agen yang datang. Dyorang datang daripada syarikat yang berlainan. Hana ingat lagi, Hana pernah menangis sebab buku yang Hana nak beli dah habis. Hehe…wat malu je…
Biasanya buku yang akan dipilih murid-murid tahap satu buku yang berwarna-warni la. Tak terkecuali jugak Hana. Tapi Hana tak tau kenapa Hana nak beli buku tu padahal, there’s no colour kat dalam tu, just black and white. Kat luar tu pun kaler biru tu je la… dah la time tu Hana baru darjah satu. Mungkin itulah penangan hebatnya Rasulullah…
Semenjak itulah Hana kenal dan tahu sejarah hidup Baginda, bagaimana peristiwa Baginda digelar al-Amin, perkahwinan Baginda dengan Siti Khadijah dan banyak lagi la. Oleh sebab Hana budak lagi time tu, jadi Alhamdulillah Allah kurniakan ingatan yang kuat kepada Hana. Memang Hana ingat point2 penting yang terkandung dalam buku tu sampai sekarang. Ia buatkan Hana mengimpikan untuk berjumpa dengan insan hebat ini. Ia menambahkan semangat Hana untuk terus mengenali Rasululllah dengan lebih lagi. Alhamdulillah, ia banyak membantu Hana untuk pembelajaran selepas itu.
Apa yang lebih memberi kesan kepada Hana ialah artikel yang diberikan oleh abang ipar kedua Hana sewaktu Hana di tingkatan satu. Ia merupakan artikel-artikel yang didownload daripada internet, kemudian dicetak. Artikel yang paling menggamit hati Hana dan membuatkan Hana menangis sewaktu membaca artikel tentang saat-saat akhir Baginda. Walaupun Rasulullah berasa sakitnya menghadapi sakaratul maut, namun Rasulullah masih sanggup ingin menanggung sakit seluruh umat Baginda iaitu kita. Subhanallah... Rasulullah mengingati kita sehingga ke akhir hayat Baginda. Namun kita sering kali melupakan Baginda, tambahan lagi di kala senang....
Bersempena dengan 12 Rabi’ul Awal 1432H ini, marilah sama-sama kita mengahayati sirah Rasul junjungan kita, Nabi Muhammad (SAW). Bukan sekadar hanya mengikut orang berarak dan berselawat, tapi tanpa berasa apa-apa pun di dalam hati. Dengan menghayati sirah, kita akan lebih memahami Islam, lebih menghargai pengorbanan rasulullah serta dapat mencontohi metodologi dakwah Rasulullah. Semoga kita tergolong dalam orang yang menyambung dakwah Nabi serta beserta Nabi di akhirat kelak…ameen….
~marilah memperbanyakkan selawat ke atas junjungan kita, Nabi Muhammad (SAW)
"Tiada harapan selain Allah...
Tiada idola selain Nabi...
Tiada kata seindah Al-Quran...
Tiada jalan selurus Sunnah...
Tiada perjuangan selain Islam..."
gambar-gambor
BICARAWARA: AWAS JERAT VALENTINE'S DAY!
Bila disebut sahaja tentang valentine’s day, pasti ramai yang sudah kenal dan tahu tentang sambutan ini. Sebenarnya, terdapat banyak pendapat akan asal usul hari valentine ini. Namun, saya hanya ingin menyentuh sedikit sahaja akan sejarah wujudnya valentine’s day ini.
Menurut pendapat pertama, perkataan valentine diambil sempena nama seorang paderi besar Kristian pada zaman pemerintahan ratu Isabella dari Sepanyol iaitu Saint valentine. ‘JASA’ beliau yang telah menumpaskan kerajaan Islam di Cordova, Sepanyol pada 14 februari 270 Masihi begitu bermakna kepada Ratu Isabella sehingga dianggap sebagai kekasih rakyatnya sendiri. Justeru itu, 14 Februari disambut setiap tahun oleh rakyat Cordova bagi merayakan kemenangan tersebut dengan dinamakan hari Valentine.
Pendapat kedua pula menyatakan pada 14 Februari 270 masihi, St. Valentine dibunuh kerana pertenlingkahannya dengan Raja Romawi yang diperintah oleh Raja Claudius II (268-270M0. Pada waktu itu Raja Claudius telah membatalkan semua perkahwinan dan pertunangan kerana Rom banyak terlibat dengan peperangan. Menyedari hakikat itu, St. Valentine dan St. Marius telah mengahwinkan orang-orang Kristian dengan pasangan mereka secara rahsia. Akibat perbuatan tersebut, St. Valentine telah ditangkap dan diheret, yang akhirnya dihukum belantang sehingga mati serta dipenggal kepalanya apa 14 Februari 270 Masihi. Bagi memperingatinya sebagai symbol ketabahan, ekberanian dan kepasrahan dalam menghadapi cubaan hidup, maka 14 Februari dijadikan sebagai hari memperingati kematian St. valentine sebagai upacara keagamaan.
Sejarah di atas jelas menunjukkan bahawa hari Valentine merupakan perayaan keagamaan yang disambut oleh penganut Kristian. Jadi, sebagai umat Islam, kita sama sekali tidak boleh menyambut perayaan agama lain, sebagaimana hadis rasulullah yang diriwayatkan oleh Imam Abu daud, maksudnya:
“barangsiapa menyerupai satu kaum, maka dia termasuk golongan mereka.”
Berdasarkan hadis di atas, Islam JELAS sekali menolak sambutan perayaan ini. Apabila sambutan ini dilarang oleh Islam, maka sebarang bentuk promosi ke atasnya juga adalah dilarang. Sambutan hari Valentine ini sebenarnya boleh hilang dari sejarah andainya tiada sebarang bentuk promosi ke atasnya. Namun, oleh kerana terdapatnya promosi seperti yang terdapat di kaca televisyen, hotel-hotel, malah kedai-kedai, maka perayaan ini terus bernyawa hingga ke hari ini.
Menurut statistik, ramai pemudi hilang dara mereka pada sambutan hari Valentine ini sebagai bukti cinta dan kasih kepada pasangannya. Jika benar lelaki tersebut cintakan pasangannya, maka dia tidak akan pernah menghancurkan kegadisan gadis idamannya bahkan akan sentiasa melindungi kehormatannya kerana lelaki adalah pelindung wanita.
BAGAIMANA PULA KASIH SAYANG MENURUT ISLAM YE?
Permulaan ayat dalam surah Al-Fatihah ialah ayat “bismillahirahmanirrahim”. Kenapa Allah menggunakan perkataan al-Rahim yang bermaksud kasih sayang, tetapi bukan al-‘azim yang bermaksud Yang Maha Mulia? Ia sebagai tanda Allah sangat cinta dan kasih akan hamba-Nya. Allah yang menciptakan rasa cinta dan kasih sayang itu, mana mungkin Allah menghalang kita untuk merasai perasaan cinta itu.
Cinta, kasih sayang, mawaddah adalah suatu fitrah yang tidak dapat tidak lagi dinafikan. Ia pasti wujud dalam hati setiap insan yang normal. Namun, tiada istilah bercinta sebelum kahwin dalam Islam. Jalan terbaik bagi menenangkan hati dan perasaan yang bergelora adalah dengan perkahwinan. Kita harus faham, cinta, kasih sayang itu bukanlah hanya ditujukan kepada orang yang berlainan jantina. Skop cinta itu sangat luas. Cinta kepada keluarga dengan menghormati mereka dan menghargai pengorbanan mereka. Selain itu, cinta juga boleh ditujukan kepada sahabat dengan sentiasa membantu sahabat dan mendoakan kebaikan sahabat. Jangan sesekali lupa untuk membuktikan cinta kepada Allah dan Rasulullah dengan patuh dan taat pada syariat yang telah digariskan. Itulah cinta yang hakiki dan sebenar-benarnya.
APA PULA PERANAN MASYARAKAT DAN KELUARGA?
Ibu bapa dan masyarakat seharusnya memainkan peranan dengan sebaik mungkin. Ibu bapa tidak seharusnya menyerahkan urusan anak bulat-bulat kepada orang gaji dan guru. Ibu bapa seharusnya sering mengambil tahu akan aktiviti anak dan sentiasa mendekati mereka agar segala aktiviti remaja terkawal. Masyarakat pula seharusnya menjaga tepi kain orang dalam hal untuk amar ma’ruf dan nahi mungkar kerana tugas untuk mencegah kemungkaran terletak di pundak kita semua. Ibu bapa pula harus mengkaji teguran jiran atau masyarakat sekeliling akan perilaku anaknya, bukanlah terus menolaknya bulat-bulat.
Selain itu, individu remaja itu sendiri yang harus membenteng diri daripada melakukan maksiat. Remaja harus sentiasa menambah pengetahuan tentang Islam serta mengamalkannya. Remaja juga seharusnya mengelakkan tempat berlakunya maksiat, contohnya disko agar diri tidak terjerumus ke lembah hina. Sebaiknya, dekatilah tempat-tempat ibadat contohnya masjid dan majlis-majlis ilmu. Menurut hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang bermaksud:
“Barangsiapa yang mampu bersetubuh dengan wanita secara haram, tetapi dia tinggalkannya kerana takutkan Allah, maka dia akan dilindungi Allah dan diharamkan dari api neraka.”
Andainya seseorang individu itu menyambut valentine, fikirkan siapakah yang paling anda cintakan pada ketika itu. Kekasih atau Allah? Jika Allah, sanggupkah anda mencurangi Allah dengan melanggar syariatnya?
PERANAN MURABBI DALAM MEMBENDUNG GEJALA INI
Setiap individu harus menjadi pembimbing kepada orang di sekelilingnya. Contoh murabbi terbaik ialah Rasulullah (SAW) yang tidak jemu menyampaikan dakwah dengan ikhlas. Hasilnya, kesan dakwah Rasulullah masih terasa hingga kini. Jadi, seseorang murabbi harus ikhlas dalam menyebarkan dakwah dan mendekati mad’u agar apa yang ingin disampaikan dapat diterima oleh mad’u.
Ikon kasih sayang dan cinta yang sebenarnya yang harus kita ikuti ialah Rasulullah (SAW). Rasulullah masih lagi menyebut “ummati” pada saat nyawa baginda berpisah dengan jasad kerana cinta dan kasih Baginda kepada kita umatnya. Semasa peristiwa fathu makkah, kafir Quraisy menggembar-gemburkan bahawa Rasulullah pasti akan membalas dendam kepada semua penduduk Makkah kerana pernah menyiksa umat Islam. Namun, semasa Rasulullah memasuki Kota Makkah, Rasulullah tidak berbuat apa pun kepada penduduk Makkah yang tidak menentang Baginda. Bahkan baginda memberikan perlindungan kepada mereka dengan berlindung di rumah Abu Sufyan. Nabi Muhammad bersabda yang mana maksudnya: "Bahkan hari ini adalah hari kasih sayang, di hari ini Allah mengagungkan Ka‘bah“. Kita mengingat hari kasih sayang yang dianjurkan oleh Kristian, tetapi kita lupa hari kasih sayang Allah mengagungkan Ka’bah. Peristiwa ini berlaku pada 10 ramadhan tahun 8 Hijrah.
Bersempena dengan sambuatan Maulidur rasul pada 15 Februari ini, marilah sama-sama kita menghayati sirah Rasulullah agar bertambah kecintaan kita kepada Baginda. Insya-Allah…ameen….
~sebarang kesilapan diharap mendapat teguran yang berhikmah dari semua...saya budak baru belajar....
Saturday, February 12, 2011
TUDUNG LABUH?
Asalnya, kunjungan Hana ke bilik Sue adalah untuk bertanyakan masalah plag di setiap bilik di wing Hana. Namun, Hana terlekat pula dengan perbualan hangat mereka. Topiknya asalnya tentang pemakaian baju bagi unit beruniform. Akhirnya topic tu berkait-kait sampailah kepada isu pelajar course agama vs bukan agama dan pemakaian tudung labuh.
Isu ini bukanlah isu baru lagi untuk diperkatakan, namun ia masih belum menampakkan tanda-tanda akan selesai, bahkan semakin parah. Hana sebenarnya tidak suka soal perbezaan course dibangkitkan. Sebabnya, bagi Hana, semua course adalah sama. Course lain pun ilmu daripada Allah juga. Walau dari course apa pun, kita tetap sama, di bawah aqidah yang satu iaitu Islam (kecuali seorang junior math yang beragama kristian). Namun, isu ini terus menjadi isu yang terhangat untuk diperkata dan dibicarakan. Hana tak salahkan mereka. Sebab bagi Hana, yang patut dipersalahkan adalah individu yang selalu menekankan isu course. Tak terlepas juga semua warga IPIS(termasuk Hana) kerana tidak menjalankan tugas sebagai individu Islam dengan sebaiknya. Jikalau semuanya memegang prinsip amar ma’ruf dan nahi mungkar, isu ini tidak akan pernah menjadi sebuah isu.
Seterusnya, isu tudung labuh. Menyentuh isu ini, Hana teringat isi chatting Hana dengan seorang kawan lelaki sekolah Hana dulu. Entah apa yang kami chattingkan sehingga termasuk isu cirri wanita yang dia dambakan sebagai seorang isteri. Walaupun dia hanyalah lelaki biasa dan bukanlah seorang yang alim atau wara’, namun dia tetap menginginkan wanita yang bertudung labuh sebagai suri hidupnya. Alangkah hebat penangan bertudung labuh. Hebat dan tinggi di mata lelaki.
Yes, Hana suka melihat orang yang bertudung labuh. Namun, Hana tidak memandang jelik akan orang yang bertudung biasa sahaja. Bagi Hana, terpulanglah kepada individu itu sama ada ingin bertudung labuh atau tak, as long as dia mengikut syariat yang telah digariskan. Mungkin bagi individu yang bertubuh kecil, memakai tudung yang bidang 45 sahaja sudah mencukupi untuk menutup apa yang perlu ditutup. Namun bagi yang berbadan agak besar, perlulah baginya untuk sekurang-kurangnya bertudung bidang 50. Jika individu itu sendiri memilih untuk bertudung labuh bidang 60 atau jilbab, ia sangat-sangatlah digalakkan.
Seandainya individu itu tidak memakai tudung, seharusnyalah kita menggunakan kuasa yang ada pada diri sama ada tangan, lidah atau hati untuk menyuruhnya memakai tudung. Namun, bagi Hana, tentang pemakaian tudung labuh ini, kita tidak boleh memaksa. Dulu, walaupun di sekolah dan asrama, Hana bertudung labuh namun di rumah tidak. Bukan Hana tidak pernah mencuba, namun sangat sukar untuk bergelut dengan hati. Sehinggalah hampir empat tahun mencuba, barulah Hana berjaya. Itu Hana yang terdedah kepada iklim dini di sekolah. Bagaimana dengan orang yang sudah sedia terdedah kepada suasana yang membantut pembentukan insan Islami? Tentu saja akan lebih sukar hatinya terbuka untuk bertudung labuh.
Apatah lagi jika berlatar belakangkan keluarga yang tidak bertudung labuh. Hana sendiri melalui saat-saat yang sangat sukar untuk bertudung labuh serta bertudung di rumah (dengan tetamu dan ipar). Hana sebenarnya seorang yang simple, dan tidak gemar bertudung. Apatah lagi bertudung hampir 24 jam di rumah sendiri. Namun, kerana syariat yang telah digariskan yang pastinya ada hikmahnya, Hana akur. Walaupun ada tentangan dan rintangan yang terpaksa ditempuh sebelum perubahan yang dilakukan dapat diterima oleh keluarga. Mungkin ada pihak yang berasa pelik. Mana bisa ahli keluarga menghalang kita melakukan kebaikan? Namun percayalah, ia sememangnya wujud. Beruntunglah anda jika dilahirkan dalam keluarga yang menggalakkan pembentukan insan Islami kerana laluan untuk anda menjadi muslimah sejati tidak terlalu sukar jika dibandingkan dengan orang lain.
Mungkin kerana itu, Hana agak terbuka akan isu bertudung labuh ini.setiap perubahan memerlukan masa. Kita tidak boleh memaksa kerana mungkin tindakan kita itu akan terus membantutkan niat mereka untukbertudung labuh. Jika ingin orang di sekeliling kita bertudung labuh, cubalah dekati mereka, fahami dan selami hati mereka, sentiasa bersama dengan mereka, mengajak mereka ke arah kebaikan, turut serta akan aktiviti yang dilakukan mereka (selagi tidak bercanggah dengan syariat), serta janganlah pernah jemu untuk mendoakan mereka dan juga diri kita sendiri. Wallahu’alam…
Mungkin apa yang ditulis oleh Hana di sini banyak kesilapan dan kekurangan. Namun, ini adalah pendapat peribadi Hana. Seandainya ada kesilapan, Hana sedia menerima teguran.
~buatlah apa sahaja yang dikehendaki selagi tidak bercanggah dengan syara’