CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

AHLAN WASAHLAN ILA RUKNI.. (^_^)


Tuesday, April 13, 2010

air kencing tikus

saya ada terbaca artikel ni kat paper online. so, rasanya tak salah untuk berkongsi di sini untuk manfaat bersama...




ARKIB : 11/04/2010
Leptospirosis undang derita

Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
bintu.rahman@utusan.com.my



KEBELAKANGAN ini, kisah mengenai virus kencing tikus (leptospirosis) kembali menjadi bualan ramai.

Ini berikutan kematian pelawak terkenal, Allahyarham Din Beramboi (yang mulanya dikatakan akibat kencing tikus, namun disahkan demam denggi berdarah) dan seorang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terpaksa dipotong dua belah kaki serta sebelah tangan akibat virus ini.

Secebis kisah Wan Aini Wan Ibrahim, pelajar berusia 21 tahun yang kini menjalani hidup sebagai insan istimewa sangat menyentuh hati.

Gadis ini mulanya hanya mengalami demam biasa selama dua hari, namun tidak mendapatkan rawatan doktor kerana menganggap ia tidak serius.

"Ia berlaku selepas raya puasa tahun lalu. Jadi saya ingatkan ia demam biasa akibat tersalah makan sahaja," katanya yang dihubungi Kesihatan baru-baru ini.

Disebabkan demamnya tidak kebah, Wan Aini dibawa rakannya ke Klinik Desa Tanjung Malim untuk mendapat rawatan dan pada peringkat awal, disyaki menghidap demam denggi berdarah.

Kemudiannya, setelah demam semakin teruk, dia dirujuk ke Hospital Slim River dan semasa di hospital itu, Wan Aini tidak sedarkan diri (koma) selama kira-kira 17 hari.

Dalam tempoh itu juga, kedua belah kaki dan tangan kiri serta dua batang jari kanannya mula mengalami gangren (sel darah mati).

Disebabkan keadaannya agak serius, Wan Aini dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh.

"Doktor di sana menasihati saya menjalani pembedahan untuk memotong bahagian yang mengalami gangren untuk mengelakkan keadaan menjadi lebih teruk," katanya.

Atas permintaan keluarga dan memudahkan urusan penjagaan, Wan Aini dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu, Kelantan pula.

Gadis dari Kampung Durian Telor, Pasir Akar, Hulu Besut, Terengganu itu terpaksa menerima hakikat kedua-dua kaki pada paras bawah lutut, tangan kiri dan dua jari tangan kanannya dipotong akibat penyakit itu.

Menurut Wan Aini, berdasarkan maklumat yang ditulis doktor pada satu dokumen, dia menghidap leptospirosis.

"Saya sendiri tak pernah mendengar perkataan itu. Jadi, saya minta tolong seorang sahabat untuk mendapatkan maklumat tentangnya," katanya lagi.

Wan Aini pasrah dengan ketentuan Ilahi terhadapnya. Walaupun awalnya merasa sukar untuk menerima hakikat, dia yakin ada hikmah yang tersembunyi.

Nasihat dan semangat yang diberikan ibu bapa, kakak, adik-beradik dan rakan-rakan menjadi dorongan gadis ini bangkit meneruskan kehidupan.

PERSEKITARAN yang kotor mengundang masalah penyakit berjangkit.

"Sekurang-kurangnya saya masih dianugerahkan nyawa untuk terus bernafas dan berbakti di atas muka bumi ini," kata pelajar Pengajian Bahasa Malaysia Dengan Pendidikan ini.

Walaupun kini pergerakannya tidak lagi seperti dulu, Wan Aini tidak mahu menjadikan ia penghalang untuk terus mengejar kecemerlangan.

Minatnya untuk bergelar pendidik tidak pernah luput, malah dengan kekurangan ini menjadikan semangat gadis tabah terus membara untuk meneruskan pelajaran.

"Saya yakin ketentuan Allah SWT itu ada sebabnya. Mungkin keadaan saya ini boleh memberi semangat dan harapan kepada insan lain agar tidak mudah berputus asa," kata Wan Aini lagi.

Bakal meneruskan pengajian pada Julai nanti, gadis ini akan mula memakai kaki palsu yang disumbangkan oleh pihak kebajikan HRPZII dan menjalani rawatan fisioterapi minggu depan.

Ujarnya, kehidupannya masih seperti dulu. Segala keperluan diri dilakukan sendiri dan sebolehnya Wan Aini tidak mahu menyusahkan sesiapa terutama kedua ibu bapanya.

Sememangnya kes seperti Wan Aini jarang berlaku di Malaysia. Namun kita perlu berwaspada kerana musibah itu tidak mengira siapa dan bila.

Menyingkap perangkaan Kementerian Kesihatan Malaysia, pada 2007 sahaja kes leptospirosis meningkat secara mendadak kepada 929 berbanding 527 kes pada tahun sebelum itu. Sejauh manakah berbahayanya penyakit ini dan apakah tindakan yang harus dilakukan untuk mencegahnya? Kesihatan minggu ini mendapatkan penjelasan lanjut mengenainya.

Simptom-simptom:

Masa pengeraman di antara dua hingga 26 hari (anggaran 10 hari). Ia boleh berlaku dalam dua fasa:

1. Pesakit mengalami simptom-simptom penyakit yang pelbagai. Antara 75 hingga 100 peratus pesakit bermula dengan demam secara tiba-tiba, menggigil, sakit-sakit badan, sakit kepala. Manakala 25 hingga 35 peratus kes melibatkan batuk tidak berkahak dan 50 peratus kes mengalami sakit perut, muntah, loya, cirit-birit. Pesakit akan pulih sebelum mereka kembali jatuh sakit.

2. Keadaan pesakit menjadi lebih teruk hingga menyebabkan organ-organ dalaman gagal berfungsi.

Kebanyakan kes sembuh, bagaimanapun kematian boleh berlaku dalam kes-kes yang serius dan tidak mendapat rawatan yang sewajarnya. Pesakit boleh mendapat kegagalan fungsi buah pinggang, hati, masalah pernafasan, pendarahan yang teruk, sel darah merah pecah hingga menyebabkan penyakit kuning dan infeksi di bahagian otak (meningitis)

Persekitaran

Penyakit ini boleh berlaku kepada mereka yang berkerja di ladang-ladang, sawah, penternakan binatang, di kawasan setinggan, tapak pembinaan kawasan perumahan di mana kuman itu didapati hidup di tanah atau air kotor kerana sistem saliran yang kurang memuaskan seperti air bertakung.

Mereka yang berkunjung di tempat-tempat air kotor seperti air sungai atau tasik yang tercemar turut berisiko tinggi. Ia juga boleh berleluasa semasa musim banjir apabila seseorang meredah air banjir yang telah dicemari dengan kuman Leptospira. Kuman ini memasuki badan seseorang jika terdapat luka di kaki atau di mana-mana bahagian badan.

Mereka yang mempunya risiko untuk mendapat penyakit ini adalah mereka yang melakukan pekerjaan seperti pekerja rumah penyembelihan, doktor haiwan, pekerja sistem pembentungan, pesawah, peladang, penternak dan anggota tentera.

Diagnosis jangkitan

Dikesan melalui ujian darah. Darah pesakit akan diambil dan ujian serologi ELISA (antibodi) akan dilakukan. Ujian air kencing biasanya positif pada minggu kedua selepas serangan penyakit dan kekal selama 30 hari.

Rawatan

Kebanyakan jangkitan yang disebabkan oleh kuman ini akan sembuh dengan sendirinya. Pesakit yang mendapat jangkitan leptospira yang lebih serius akan dirawat dengan ubat antibotik seperti Doxycycline, Erythromycin, Penicillin, Cefotaxime dan Ceftriaxone untuk memendekkan tempoh penyakit dan mengurangkan pengeluaran kuman leptospirosis di dalam air kencing pesakit. Jangka masa rawatan selalunya antara lima hingga tujuh hari.

Penjagaan sokongan perlu diberikan kepada pesakit yang mengalami komplikasi seperti pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang. Mereka mungkin memerlukan rawatan untuk mencuci buah pinggang melalui dialisis, bantuan sokongan pernafasan, pemindahan darah dan lain-lain.

No comments:

Post a Comment